FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH
Oleh Dr Yusuf al-Qardhawy
ISLAM POLITIK
Pada tahun-tahun terakhir ini berkembang beberapa istilah dalam tulisan para sekular dan westernis, dari haluan kiri mahupun kanan, atau orang-orang yang mengikuti pola pemikiran Marxis di Timur dan pola pemikiran liberal di Barat.
Di antara istilah ini adalah istilah "Islam politik". Yang mereka maksudkan dengan istilah ini ialah Islam yang memperhatikan urusan umat Islam dan hubungan-hubungan yang dijalinnya, di dalam atau di luar negeri, upaya membebaskannya dari campurtangan kekuasaan luar, menghadapi segala urusan material dan moral menurut kehendaknya sendiri, membebaskannya dari penyusupan imperialis Barat dalam masalah peradaban, sosial dan hukum, agar dapat kembali ke penerapan syariat Allah dalam pelbagai sektor kehidupan.
Mereka melemparkan istilah "Islam politik" ini untuk menghindari isi kandungannya dan para da`i yang menyeru kepada Islam secara menyeluruh, dengan istilah akidah dan syariat, agama dan daulah.
Ramai orang yang mengajukan pertanyaan, apakah istilah yang baru ini (Islam politik) boleh diterima dari sudut pandang syariat? Bukankah memasukkan politik ke dalam Islam merupakan hal baru dari kalangan da`i pada zaman sekarang? Ataukah hal ini termasuk sebahagian dari agama yang sudah ditetapkan berdasarkan Al-Qur`an dan Sunnah?
Para ikhwan meminta agar kami menjelaskan hakikat masalah ini berdasarkan dalil-dalil syariat yang pasti ketentuan hukumnya, agar orang yang binasa biarlah binasa setelah mendapat pengetahuan, dan yang hidup biarlah tetap hidup setelah mendapat pengetahuan.
Jawapan dari pertanyaan-pertanyaan yang diajukan para ikhwan tersebut, dapat kami sampaikan dalam perbahasan berikut ini.
Penggunaan Istilah Ini Tidak Boleh Diterima
Yang pertama-tama perlu kami jelaskan di sini, bahawa penggunaan istilah ini menurut pandangan kita orang-orang Muslim tidak boleh diterima. Kerana ini merupakan penerapan temporal sementara yang sengaja diletakkan oleh musuh-musuh Islam, untuk memilih-milih Islam menjadi beberapa bahagian yang saling berbeza, bukan merupakan Islam yang satu sebagaimana yang diturunkan oleh Allah dan seperti yang dipeluk oleh orang-orang Muslim. Tetapi itu merupakan "Islam-Islam" yang beragam dan berbeza-beza, seperti yang dikehendaki oleh musuh-musuh itu.
Terkadang mereka membuat pembahagian berdasarkan wilayah, sehingga ada Islam Asia dan Islam Afrika. Terkadang mereka membuat pembahagian berdasarkan masa, sehingga di sana ada Islam masa Nabawi, Islam masa Al-Khulafaur-rasyidun, Islam masa Umawiyah, Islam masa Abbasiyah, Islam masa Uthman, Islam kontemporari dan sebagainya.
Terkadang mereka membuat pembahagian berdasarkan jenis, sehingga di sana ada Islam Arab, Islam India, Islam Turki, Islam Melayu dan lain-lainnya. Terkadang mereka membuat pembahagian berdasarkan mazhab, sehingga di sana ada Islam Sunni, Islam Syi`ah. Dalam pada itu mazhab sunni pula dibahagikan kepada beberapa bahagian lagi, dan begitulah juga berlaku kepada mazhab syi`ah.
Pembahagian-pembahagian ini masih ditambahi lagi dengan pembahagian baru lainnya, seperti Islam revolusioner, Islam reaksioner, Islam radikal, Islam klasik, Islam kiri, Islam kanan, Islam tertutup, Islam terbuka dan lain-lainnya. Yang paling aktual adalah istilah Islam politik, Islam fundamentalis, Islam spiritualis, Islam temporal, dan Islam teolog.
Kita tidak tahu pembahagian macam apa lagi yang mereka ciptakan di kemudian hari? Yang pasti, semua pembahagian ini tidak boleh diterima menurut sudut pandang orang Muslim, kerana di sana tidak ada kecuali Islam yang satu, yang tiada sekutu baginya dan tidak ada pengakuan terhadap nama selain itu. Inilah Islam Al-Qur`an dan Sunnah, Islam sebagaimana yang difahami sebaik-baik generasi umat dan sebaik-baik kurunnya, dari kalangan sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, generasi yang dipuji Allah dan RasulNya.
[ Komen saya: Dengan kenyataan Dr Yusuf al-Qardhawi di atas, patutlah Paklah tak panggil Dr Yusuf Al-Qardhawi datang ke Majlis Fiqh Sedunia di Putrajaya tahun lalu dalam agenda untuk mengikhtiraf "Islam hadhari" ciptaan Paklah. ]
Islam Tidak Ada Ertinya Tanpa Politik
Perlu kami nyatakan secara terus terang dan sejelas-jelasnya, bahawa Islam yang benar seperti yang disyariatkan oleh Allah, tidak akan menjadi seperti itu kecuali jika ia berwawasan politik. Jika engkau melepaskan Islam dari urusan politik, bererti engkau menjadikannya agama lain, boleh agama Budha atau agama Nasrani atau lainnya.
[ Komen saya: Dalam masalah politik dalam Islam, pernah saya muzakarah dengan golongan yang tak mau involve dalam urusan politik M`sia. Saya tunjukkan kepada mereka Surah ar-Rum: 2-4 (yang bermaksud), “Telah dikalahkan bangsa Rumawi (yang berpusat di Konstantinopel), di negeri yang terdekat (terdekat ke negeri Arab iaitu Syria dan Palestina) dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang, dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman,…”
Saya tanya kat depa, “Untuk apa Allah bubuh surah Rom dalam Quran sedangkan depa kafir? Pastu bila Rom kalah, orang Islam pi sedih pulak dah. Kemudian bila Rom menang, orang Islam happy, pasai apa jadi camtu?”…Saya kata bahwa inilah ayat politik yang menceritakan tentang isu semasa pada zaman Nabi s.a.w. Dalam ayat tu menceritakan tentang perang antara Rom dan Parsi yang merupakan dua kuasa besar ketika itu. Kalau relate dengan zaman la ni, macam Amerika dengan Rusia la tu.
Yang orang Islam pi sedih bila Rom kalah dan kemudian gembira bila Rom menang, sebab Rom adalah satu bangsa yang beragama Nasrani yang mempunyai Kitab Suci sedangkan Parsi beragama Majusi penyembah api dan berhala (musyrik). Jadi, nasrani tu asalnya agama samawi macam Islam juga, sedangkan Parsi satu geng dengan musyrikin Makkah sebab depa sama-sama sembah berhala. Jadi bila kita lihat orang-orang Islam di Makkah mengikuti perkembangan peperangan dua kuasa besar tu dengan serious, bermakna umat Islam amat peka dengan isu semasa, lebih-lebih lagi dalam masalah siapa akan menguasai dunia. Jadi bagi kita hari ini pun, jangan kita letak mindset sapa perintah pun takpa kerana pemikiran begini amat bahaya kepada survival umat Islam. ]
Islam Mengarahkan Semua Sisi Kehidupan
Ada dua sebab utama dalam hal ini, iaitu:
Pertama:
Islam mempunyai sikap yang jelas dan hukum yang tegas dalam pelbagai masalah yang dianggap sebagai tulang belakang dunia politik. Islam bukan merupakan keyakinan para pemimpin agama atau slogan-slogan ibadah semata. Maksudnya, Islam bukan hanya sekadar hubungan antara manusia dengan Rabb-Nya tanpa ada hubungan dengan cara mengatur kehidupan menuntun (membimbing) masyarakat dan daulah. Sama sekali tidak. Islam merupakan akidah, ibadah, akhlak dan syariat yang saling melengkapi. Dengan kata lain, Islam merupakan sistem yang sempurna bagi kehidupan, yang meletakkan prinsip-prinsip, menetapkan kaedah, membuat ketetapan-ketetapan hukum, menjelaskan pimpinan, yang berkaitan dengan kehidupan individu, cara menata (menyusun) rumahtangga, mengatur masyarakat, mendirikan daulah dan menjalin hubungan dengan seluruh dunia.
Sesiapa yang membaca Al-Qur`an, Sunnah yang suci, buku-buku fiqah Islam dengan berbagai mazhabnya, tentu akan mendapatkan hal ini sejelas-jelasnya.
Bahkan satu bahagian dari ibadah yang termasuk fiqah, berada tidak jauh dari politik. Orang-orang Muslim sepakat bahawa sesiapa yang meninggalkan solat, tidak mahu membayar zakat, terang-terangan makan pada bulan Ramadhan, meremehkan kewajipan haji, layak mendapat hukuman. Bahkan dia mesti diperangi jika terang-terangan membentuk satu kelompok, seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar r.a terhadap orang-orang yang menolak membayar zakat.
Bahkan menurut kesepakatan mereka juga, andaikata penduduk suatu negeri meninggalkan sebahagian masalah sunat yang termasuk syi`ar Islam, seperti azan, khitan bagi anak lelaki, atau solat `Aidil maka mereka mesti diseru untuk melaksanakannya dan diminta alasan dari tindakan mereka. Jika mereka tetap menolak melaksanakannya, maka mereka mesti diperangi.
Islam mempunyai kaedah, hukum dan tuntunan-tuntunan dalam menangani pendidikan, media massa, hukum, harta benda, perdamaian, perang dan apa pun yang diperlukan dalam kehidupan. Islam tidak boleh menerima jika hal ini hanya dipergunakan bagi kepentingan haluan kanan atau pesuruh ideologi-ideologi lain. Islam mesti datang sebagai pemimpin, pelopor dan pemuka yang mesti diikuti dan ditunduki. Bahkan Islam tidak boleh menerima jika kehidupan ini dipisahkan antara dirinya dan masalah kepimpinan, termasuk tidak juga menerima pemisahan antara tuntunan dan penetapan hukum. Islam tidak menerima ucapan yang dinisbatkan kepada Al-Masih a.s, "Berikan bahagian Kaisar kepada Kaisar dan bahagian Allah kepada Allah." Falsafah atau ideologi Islam yang berlaku, bahawa Kaisar dan bahagian Kaisar merupakan milik Allah Yang Esa dan satu, yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi.
Pola pemikiran tauhid dalam Islam yang berlaku, bahawa tidak seharusnya orang Muslim menjadikan selain Allah sebagai Rabb, mengambil selain Allah sebagai penolong dan tidak mencari hukum dari selain Allah, sebagaimana yang dijelaskan dalam surah tauhid yang paling besar, ialah surah Al-An`am.
Pada hakikatnya akidah tauhid tak lebih dari sebuah revolusi untuk mewujudkan kebebasan, persamaan dan ukhuwah bagi manusia, agar sebahagian manusia tidak mengangkat sebahagian yang lain sebagai sembahan selain Allah. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w mengakhiri setiap surat yang dikirim kepada Ahli-Kitab dengan ayat yang mulia dari surah Ali Imran (yang bermaksud), "Hai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kalian, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun, tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai sesembahan selain daripada Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang menyerahkan diri (kepada Allah)." (Ali-Imran: 64)
Di sinilah letaknya rahsia sikap orang-orang musyrik dan para pembesar di Makkah yang menghalang dakwah Islam semenjak hari pertama, hanya kerana dakwah ini ingin meninggikan panji La ilaha illallah. Mereka sedar betul apa yang ada di sebalik panji ini, mereka mengetahui makna perubahan terhadap kehidupan sosial dan politik yang dibawanya, di samping perubahan agama seperti yang sudah dimaklumi.
[ Komen saya: Bila sebut sikap kesensitivitian pihak musyrik terhadap agama yang dibawa oleh Nabi s.a.w, saya teringat ulasan ust Ahmad Jailani semalam di surau Bukit Jambul tentang very alert-nya pihak kuffar tentang isu murtadnya Siti Fatimah Tan @ Tan Ean Hung. Lihat apa yang ditulis dalam blog jaguh liberal M`sia Haris Ibrahim:
http://harismibrahim.wordpress.com/2008/05/08/syariah-court-allows-siti-fatimah-tan-abdullah-to-return-to-buddhism/
Cuba lihat dia tulis apa pada ayat yang akhir sekali dalam posting dia yang terbaru? Dia kata, “The push to make this an Islamic state may [then] have been achieved.” …Ini dia tuan-tuan. Inilah yang dapat dibaca oleh pihak kuffar apabila ust Ahmad Jailani berjaya membawa kes Siti Fatimah Tan ke mahkamah syariah. Mereka sedar bahwa sekiranya kes-kes seumpama ini menjadi kemestian diselesaikan di mahkamah syariah, lambat-laun Malaysia akan kembali kepada sebuah Negara yang betul-betul Islam.
Namun yang menghairankan, walaupun puak kuffar dapat membaca strategi ust Ahmad Jailani ini, tetapi ada sebahagian para pejuang Islam sendiri tidak dapat membacanya. Mereka terus menghentam ust Ahmad Jailani tanpa usul periksa. Kekesalan ini diluah oleh ust Jailani semalam. Wartawan-wartawan luar dari AP, BBC dan sebagainya terus menelefon ust Jailani untuk mengetahui dari sumber yang asli apabila mendapat tahu tentang keputusan kes tersebut, sedangkan dari pihak pejuang Islam tidak ada. ]
Kedua:
Karakter orang Muslim yang dibentuk Islam dengan diwarnai akidah, syariat serta ibadahnya, tentu merupakan karakter politis, kecuali jika pemahamannya terhadap Islam atau penerapannya tidak tepat.
Islam meletakkan kewajipan di leher setiap orang Muslim apa yang disebut amar ma`ruf nahi mungkar, yang juga boleh disebut dengan sebuah tajuk: Nasihat itu bagi para pemimpin orang-orang Muslim dan orang awam di antara mereka. Inilah yang disebut dalam hadis sahih:
"Agama itu nasihat." (Diriwayatkan Muslim).
Boleh saja hal ini diwujudkan dengan nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang kedua hal ini merupakan syarat fundamental untuk keselamatan dan kerugian di dunia dan akhirat, seperti yang diungkapkan surah Al-Ashr.
Perhatian orang Muslim terhadap keadaan umat secara umum, boleh disebut dengan istilah politik untuk zaman sekarang.
[ Komen saya: Inilah yang pernah saya bagitau kat kaum wanita sebab depa selalu sebut, “Bab-bab politik ni, kami tak minat la.”…Padahal depa berpolitik setiap hari tanpa disedari. Bangun pagi siapkan anak ke sekolah sambil menasihati anak, itu sudah berpolitik. Hari ini nak ke pejabat nak pakai baju apa, kemudian kawan-kawan serumah bagi nasihat suruh pakai sopan sikit, itu sudah berpolitik. Mereka ini hanya nak disuntik pemikiran Islamik saja dalam kehidupan seharian, baru mereka tahu betapa cantiknya politk cara Islam. ]
Melenyapkan Kerosakan dan Kezaliman Adalah Jihad Yang Paling Utama
Rasulullah s.a.w memerintahkan orang Muslim agar melenyapkan kerosakan di dalam daulah dan menganggapnya lebih utama daripada menghadapi serangan musuh dari luar. Maka baginda bersabda tatkala ditanya tentang jihad yang paling utama:
"Jihad yang paling utama ialah kata-kata yang benar di hadapan pemimpin yang zalim." (Diriwayatkan An-Nasa`i)[1]
Sebab kerosakan di dalam daulah inilah yang memancing munculnya serangan dari luar. Mati syahid kerana perbuatan ini juga termasuk jenis mati syahid fi sabilillah yang tertinggi. Sabda baginda:
"Pemimpin para syuhada adalah Hamzah dan juga orang yang mendatangi pemimpin yang zalim lalu menasihatinya dan melarangnya, lalu pemimpin itu membunuhnya." (Diriwayatkan Al-Hakim)[2]
[ Komen saya: Ini dia tuan-tuan dua hadis yang boleh diambil sebagai hujah dalam menghadapi kerajaan korupsi umno/bn di Malaysia hari ini. Namun apabila tiba saja musim PRU, umno cukup seronok mendendangkan hujah dari golongan salafi yang berhujah dengan hadis dari Hudzaifah Ibnul Yaman, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
”Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah kalian orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam wujud manusia. Aku (Hudzaifah) bertanya: Apa yang harus aku lakukan jika aku mendapatinya, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “(Hendaknya kau tetap) mendengar dan taat kepada penguasa, meskipun punggungmu dipukul dan hartamu dirampas, (tetap bersikaplah) mendengar dan taat!’. (Hadis Riwayat Muslim, no. 1847)
Memang hadis ini sahih, tetapi tengok apa kata Prof Muhammad Al-Ghazali dalam kitabnya Laisa Minal Islam, ketika mengkritik kefahaman Imam Ibn Hazm tentang hadis tersebut. Kata Prof Muhammad al-Ghazali, “Hadis ini dimaksudkan kepada orang yang dijatuhkan hukuman kerana memang melakukan kesalahan.” Pemerintah-pemerintah Islam di waktu kerajaan Umaiyah, Abbasiyah dan seterusnya hingga kepada Uthmaniyah memang sebahagian ada yang zalim, namun mereka tetap melaksanakan hukum dari al-Quran dan as-Sunnah. Bukannya seperti sekarang, yang menolak untuk melaksanakan hukum Islam secara total. Jadi, sebenarnya hadis-hadis Nabi s.a.w tentang ketaatan kepada pemimpin tidak bersetentangan antara satu sama lain, namun yang salahnya ialah kefahaman kita dalam mengambil pengajaran dari hadis-hadis berkenaan. ]
Di dalam jiwa orang Muslim tertanam penolakan terhadap kezaliman dan kehendak untuk memberontak terhadap orang-orang yang zalim. Hingga baginda bersabda dalam doa qunutnya, yang diriwayatkan dari Ibnu Mas`ud, dan inilah yang diamalkan di dalam mazhab Hanafi dan lain-lainnya:
"Kami bersyukur kepada-Mu ya Allah dan tidak kufur kepada-Mu, kami melepaskan dan meninggalkan orang yang menderhakai-Mu."
Islam menganjurkan peperangan untuk menyelamatkan orang-orang yang mendapat tekanan dan lemah di bumi dengan pelbagai ungkapan anjuran dan perintah, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat berikut ini (yang bermaksud):
"Mengapa kalian tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita-wanita mahupun anak-anak, yang semuanya berdoa: Ya Rabb kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau." (An-Nisa`: 75)
[ Komen saya: Inilah sebabnya saya tidak setuju dengan sticker lekat kat kereta “Say No To War”. Ini bukan maknanya saya suka kepada peperangan. Saya pun tak suka. Sebab semua orang pun tahu akibat dari peperangan. Namun demikian kita sebagai orang Islam yang mengambil Quran sebagai manhaj, perlu peka dengan ayat-ayat anjuran perang yang banyak disebut dalam al-Quran.
Namun begitu, peperangan adalah last solution dalam segala hal. Selagi kita masih ada ruang untuk berdakwah, selagi diberi ruang berhujah membetulkan sistem pemerintahan yang tidak adil, selagi itu peperangan mesti dihindari. ]
Islam melontarkan kemarahan dan pengingkarannya terhadap orang-orang Muslim yang menerima kezaliman, rela menetap di tempat yang keadaan mereka dilecehkan dan dizalimi, padahal mereka boleh hijrah dan lari dari sana menuju ke tempat lain. Firman-Nya (yang bermaksud):
"Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: Dalam keadaan bagaimana kalian ini? Mereka menjawab: Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Makkah). Para malaikat berkata: Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kalian dapat berhijrah di bumi itu? Orang-orang itu tempatnya neraka jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali, kecuali mereka yang tertindas baik lelaki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah), mereka itu, mudah-mudahan Allah memaafkannya. Dan, adalah Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun." (An-Nisa`: 97-99)
Sehingga Al-Qur`an berkata tentang keadaan orang-orang yang lemah, "Mudah-mudahan Allah mengampuni mereka." Mereka berkata seperti itu sebagai harapan kepada Allah, dan tidak ingin diherdik Allah kerana rela terhadap penindasan dan kezaliman, yang mesti dihindari orang Muslim selagi boleh melakukannya.
[ Komen saya: Menurut mufasirin, ayat al-Quran di atas turun selepas berlakunya Perang Badar al-Kubra. Yang dimaksud dengan orang yang menganiaya diri sendiri di sini, ialah orang-orang muslimin Mekah yang tidak mau hijrah bersama Nabi sedangkan mereka sanggup. Mereka ditindas dan dipaksa oleh orang-orang kafir ikut bersama mereka pergi ke perang Badar, akhirnya di antara mereka ada yang terbunuh dalam peperangan itu.
Dalam suasana hari ini, yang menjadi kebimbangan ialah negara kita terikat dengan PBB, yang apabila berlaku konflik, kemungkinan tentera-tentera Malaysia akan di hantar di bawah panji PBB. Konflik di Somalia tahun 90an dulu, tentera-tentera kita pernah dikerah ke sana. Yang terbaru dan baru saja ditarik-balik ialah di daerah Mindanao, Selatan Filipina. Kedua-dua tempat tu kita terpaksa berhadapan dengan para pejuang Mujahidin Islam. Yang bimbangnya bila berlaku pertempuran, dibimbangi muncung rifel tentera-tentera kita yang beragama Islam bertembung dengan muncung-muncung rifel Mujahidin yang juga Islam. Kalaulah ada tentera kita yang Islam terbunuh dalam situasi macam tu (na`uzubillah), dibimbangi persoalan yang lebih kurang sama juga diajukan oleh Malaikat (rujuk ayat al-Quran surah an-Nisa`: 97-99 seperti di atas). Jadi, apa nak jawab kalau jadi macam tu? ]
Pengungkapan Al-Qur`an yang berulang-ulang tentang orang-orang yang sewenang-wenang di mukabumi, seperti Fir`aun, Haman, Qarun, pasukan dan para pengikutnya, merupakan pengungkapan yang mendorong hati orang Muslim untuk menentang sepak terajang mereka, membenci kezaliman mereka dan membantu orang-orang lemah yang menjadi korban mereka.
Merubah Kemungkaran Merupakan Kewajipan
Pengungkapan Al-Qur`an dan Sunnah tentang orang-orang yang hanya diam tatkala menghadapi kemungkaran dan bersikap pasif menghadapi para pelakunya, merupakan pengungkapan yang mampu menggetarkan hati sesiapa pun yang memiliki iman sekalipun hanya seberat biji sawi.
"Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu." (Al-Maidah: 78-79)
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lidahnya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya, namun yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Diriwayatkan Muslim)
Salah besar jika ada anggapan bahawa kemungkaran ini hanya berkisar pada masalah zina, minum khamar atau hal-hal lain yang semakna.
Mengabaikan kehormatan rakyat merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Memanipulasi hasil pilihanraya merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Tidak mahu memberi kesaksian terhadap hasil pilihanraya merupakan kemungkaran yang amat mungkar, kerana hal ini termasuk menyembunyikan kesaksian. Menyerahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Mencuri kekayaan milik rakyat merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Menimbun barang yang diperlukan rakyat kerana kepentingan peribadi atau golongan tertentu merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Menzalimi manusia dengan cara-cara yang jahat tanpa melalui prosedur mahkamah yang adil merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Menyeksa manusia di penjara dan tahanan merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Menyerahkan wang rasuah, menerimanya dan menghantarkannya merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Mencari muka di hadapan pemimpin dengan cara yang batil dan mengipas-ngipas di hadapannya merupakan kemungkaran yang amat mungkar. Setia terhadap musuh Allah dan musuh umat adalah kemungkaran yang amat mungkar.
Begitulah kita mendapatkan cakupan kemungkaran yang amat luas dan semakin luas, meliputi hal-hal yang dianggap manusia sebagai masalah politik.
Maka apakah orang Muslim yang masih memiliki ghirah terhadap agamanya dan menghendaki keredaan Rabb masih tetap akan diam mematung saja? Ataukah justeru dia menghindar dari medan, melarikan diri menghadapi pelbagai kemungkaran ini, kerana takut atau mementingkan keselamatan diri sendiri? Apabila roh seperti ini menyebar di tengah umat, maka habislah sudah risalahnya dan sudah boleh dipastikan, umat itu akan binasa, kerana ia akan menjadi santapan bangsa lain, bukan bangsa yang disifati Allah (yang bermaksud):
"Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah." (Ali Imran: 110)
Tidak hairan jika kita mendengar peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w kepada umat kerana munculnya sikap seperti itu:
"Jika kulihat umatku gentar berkata kepada orang zalim: Hai orang zalim!, maka mereka tidak layak lagi untuk hidup." (Diriwayatkan Ahmad)
Dengan sebab imannya orang Muslim dituntut agar tidak bersikap pasif dalam menghadapi kemungkaran, apapun bentuknya, baik politik, ekonomi, sosial atau peradaban. Dia mesti meluruskan dan merubahnya dengan menggunakan tangan jika memang sanggup. Jika tidak sanggup, boleh menggunakan lidah dan keterangan. Jika tidak sanggup merubah dengan menggunakan lidah, dia mesti beralih ke cara yang paling rendah iaitu merubah dengan hatinya, dan inilah yang disifati dalam hadis sebagai selemah-lemahnya iman.
Rasulullah s.a.w menyebutnya "Merubah dengan hati", kerana ianya merupakan beban perasaan dan kejiwaan dalam melawan kemungkaran dan para pelakunya. Beban ini bukan hanya sekadar sesuatu yang mengandungi erti negatif seperti anggapan orang. Sebab jika begini, tentunya tidak disebut dengan kata-kata merubah di dalam hadis ini.
Beban perasaan dan kejiwaan ini akan terus mengekori dan suatu saat akan menyemburkan nafas dalam suatu tindakan yang positif, boleh berupa revolusi yang melibatkan orangramai atau ledakan yang sukar dibayangkan. Jika ada tekanan, tentu akan diikuti dengan ledakan. Ini merupakan sunnatullah yang berlaku di alam ini.
[ Komen saya: Yang kata "Merubah dengan hati” kemudian diikuti dengan “ledakan” benar-benar berlaku dalam PRU12 pada bulan Mac yang lalu. Memang terkejut besar. Apa taknya, kalau ikuti rentetan senario politik semasa start dari tahun 2004 hingga awal 2007, geng-geng Pas nampak sepi seolah-olah takdak mood nak sembang pasai politik. Mungkin penangan PRU11 masih menghantui. Kemudian dengan kenaikan tol dan minyak pun, dilihatkan rakyat seperti tidak ambil peduli. Awat taknya, semua demonstrasi yang diadakan, nampak muka sama saja yang turun. Tu pun tak berapa kerat. Politik ketika itu jadi lesu.
Namun di pertengahan tahun 2007, ketika berlakunya pergolakan di Myanmar, yang dicetuskan oleh sami-sami Buddha, nampaknya telah memberi satu kekuatan baru kepada ustaz-ustaz di tanahair untuk berani mengetuai demo 100,000 Bersih di KL. Kelantangan di mimbar-mimbar khutbah dan di kuliah-kuliah Maghrib, benar-benar direalisasikan oleh para ulama. Di sini kita lihat turning pointnya. ]
Jika hadis di atas menyebut sikap ini dengan istilah "Merubah dengan hati", maka dalam hadis lain disebutkan dengan istilah "Jihad hati", yang merupakan tingkatan jihad terakhir, sebagaimana ia merupakan tingkatan iman yang terakhir dan paling lemah. Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas`ud secara marfu`:
"Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah di suatu umat sebelumku, melainkan dia mempunyai para sahabat-sahabat setia dan rakan-rakan yang melaksanakan sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Kemudian datang sesudah mereka orang-orang yang mengatakan apa yang tidak dikatakan para nabi, melakukan apa yang tidak diperintahkan para nabi itu. Barangsiapa memerangi mereka dengan tangannya, maka dia adalah orang Mukmin. Barangsiapa memerangi mereka dengan lidahnya, maka dia adalah orang Mukmin, dan barangsiapa memerangi mereka dengan hatinya, maka dia adalah orang Mukmin. Setelah itu tidak ada lagi iman sekalipun hanya sebiji sawi."
Antara Individu dan Jemaah
Seorang saja sering tidak sanggup menghadapi kemungkaran, terlebih lagi jika kejahatannya sudah bermaharajalela, apinya sudah membara dan para pelakunya kuat atau kemungkaran itu berasal dari kalangan penguasa yang sepatutnya merekalah memeranginya, namun justeru mereka pula menjadi pendokong kemungkaran itu. Keadaan ini seperti yang digambarkan dalam sebuah peribahasa: "Orang yang menjaganya tidak berbeza dengan orang yang melarangnya." Atau seperti yang dikatakan seorang penyair:
"Penggembala domba menjaga dari serangan serigala bagaimana dengan penggembala yang memelihara serigala?"
Tak dapat diragukan, jalinan kerjasama untuk merubah kemungkaran dalam keadaan seperti ini sangat diperlukan. Sebab ianya merupakan kerjasama kepada kebajikan dan ketakwaan. Amal jemaah (tindakan bersama) menerusi perkumpulan atau parti yang memang diperbolehkan merupakan fardhu yang diwajibkan agama.
[ Komen : Ini bukan cerita khayalan superhero, yang dia sorang boleh selamat dunia. Begitu juga dengan golongan hat makan bertih bertapa sorang-sorang dalam gua, berkhayal boleh lawan kuffar dengan cara macam tu. Ini semua mengarut. Ini dunia realiti sekarang tuan-tuan. Dengan segala macam gejala yang berlaku sekeliling kita hari ini, kita takdak jalan lain melainkan kena pi cari dan join mana-mana pertubuhan yang komited untuk membasmi semua ni. Kalau boleh hat berlandaskan Islam itu lagi bagus. Dalam buku “Ulama: Dalam Sorotan Kemerdekaan” tulisan dua orang MA UKM, saudara Ridzuan Mohd dan Mohd Fadli Abdullah, ada dituliskan ketika menghadapi pihak penjajah British, para pejuang Melayu Islam di tanahair bermula sejak akhir kurun ke 20 lagi hinggalah ke tarikh diberikan kemerdekaan, menubuhkan begitu banyak pertubuhan dalam nak mengelirukan penjajah. Nama pertubuhan lain-lain, namun pejuang-pejuang yang aktifkannya hampir nama-nama yang sama.
Hari ini pun kita boleh kelirukan pihak kuffar dan proksi-proksinya dengan strategi yang sama. Biar ditubuhkan banyak pertubuhan-pertubuhan Islam. Kalau satu diharamkan, yang lain boleh cover-up. Inilah yang pernah disebut oleh TG Nik Aziz dalam ceramahnya sekitar tahun 2001, berucap tentang isu pihak kerajaan mengusulkan nak mengharamkan istilah “Islam” yang digunakan oleh setiap pertubuhan. TG kata (lebih kurang maksudnya), “Haram pi lah parti Pas, kita boleh tubuh parti lain. Walaupun parti nama lain, tapi yg run tu kita jugak.”…Inilah yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam di Turki. Setelah Parti Refah pimpinan Necmettin Erbakan diharamkan pada tahun 1998, tertubuh pula Parti Fazilet yang sebahagian besar dari anggota bekas Parti Refah. Kemudian Parti Fazilet turut diharamkan pada tahun 2001, tertubuh pula Parti Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) diasaskan oleh Recep Tayyip Erdogan yang cenderung kepada Islam. ]
Antara Hak dan Kewajipan
Masalah yang seringkali diungkit-ungkit, dikritik dan dikemukakan dalam ideologi dan sistem pada zaman sekarang adalah masalah hak manusia. Hak ini diangkat Islam dan dijadikan sebagai kewajipan yang suci, yang boleh mengakibatkan dosa dan seksa dari Allah jika diabaikan.
Ada perbezaan nyata antara hak yang termasuk dalam ruang mubah atau menurut pilihan, yang memungkinkan bagi seseorang untuk meninggalkannya jika dia menghendaki, dengan kewajiban yang tidak ada pilihan bagi mukallaf untuk meninggalkan atau melalaikannya tanpa ada alasan yang diterima syariat.
Sesuatu yang menjadikan orang Muslim sentiasa sebagai politisi, kerana dengan sebab imannya dia dituntut agar tidak hidup untuk dirinya sendiri, tanpa mahu memperhatikan masalah dan kesulitan orang lain, terutama sesama orang Mukmin, yang didasarkan kepada ukhuwah iman.
"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara." (Al-Hujurat: 10)
[ Komen saya: Bila sebut "seorang Muslim sentiasa sebagai politisi", terpanggil saya untuk memberi komen. Bukannya apa, sejak kebelakangan ini, apa yang saya lihat respon yang diberi oleh masyarakat Malaysia dalam bab-bab politik agak meriah. Tak macam 10 tahun dulu. Walaupun tahun '98\'99 tu reformasi meletus, tapi sembang-sembang politik especially anak-anak muda, suri-suri rumah agak kurang. Walaupun geng pembangkang mendominasi sembang "kedai kopi" ketika itu, tapi tak se"ketara" hari ini.
Hari ini, bila geng-geng rempit, geng-geng kereta turbo sembang pasai motor kereta, last sekali bottom-line-nya depa akan bercakap bab politik. Apa taknya? Kalau bukan isu harga minyak melambung tinggi. Depa dah tak mampu nak race tiap-tiap hari pasai minyak mahal, seminggu sekali pun belum tentu. Hat suri-suri rumah pula, bila balik dari market, mula lah membebel. Mau taknya? Dulu bawa RM10 boleh beli macam-macam, tapi hari ni, se-round pun tak habis lagi pusing market, tetiba hangus dah RM50. Baru depa sedaq kuasa membeli dah takdak. Last-last, kepala Paklah depa hentam. Jadi, pointnya di sini nak bagitau, semua (tak kira level apa, tak kira bangsa apa) pakat bercakap tentang politik isu semasa. ]
Dalam hadis disebutkan:
"Barangsiapa tidak memperhatikan urusan orang-orang Muslim, maka dia bukan termasuk golongan mereka, dan barangsiapa tidak menjadi pemberi nasihat bagi Allah, Rasul-Nya, para pemimpin orang-orang Muslim dan orang-orang awam di antara mereka, maka dia termasuk golongan mereka. Sesiapa pun penghuni suatu rumah yang di tengah mereka ada seseorang yang kelaparan, maka mereka telah terlepas dari perlindungan Allah dan Rasul-Nya." (Diriwayatkan At-Tabrani)[3]
Di samping mewajibkan orang Muslim untuk memberi makan orang miskin, Al-Qur`an juga mewajibkannya menganjurkan orang lain berbuat hal yang sama, tidak seperti orang-orang Jahiliyah yang dicela di dalam Al-Qur`an:
"Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kalian tidak memuliakan anak yatim, dan kalian tidak mengajak memberi makan orang miskin." (Al-Fajr: 17-18)
Al-Qur`an menganggap sikap mengabaikan masalah ini sebagai bukti pendustaan terhadap agama:
"Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin." (Al-Ma`un: 1-3)
Bahkan Al-Qur`an mengaitkan hal ini dengan kekufuran kepada Allah dan layak mendapat seksa yang pedih di akhirat:
"Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar, dan juga dia tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan orang miskin." (Al-Haqqah: 33-34)
[ Komen saya: Dalam bab buat kenduri bagi makan ni, memang kat Malaysia dah jadi satu budaya. Cukup mewah. Cuba tengok kat masjid-masjid setiap malam Jumaat. Disamping pisang yang dah jadi sinonim dengan masjid, depa mai longgok pulak bertimbun-timbun bungkusan makanan pelbagai aroma. Hat bungkus ala nasi kandaq ada, hat dalam polistrin ada. Kena pulak la ni musim durian, ada yang hantar pi pulut durian. Fuuuhhh, bau pulut durian semerbak satu masjid. Agak-agak tuan-tuan, boleh khusyuk ka semayang dengan baik punya bau durian?...Saya rasa hat zujud tahap A pun belum tentu boleh control. Inilah akibatnya bila dibudayakan masjid sebagai tempat longgok pisang dengan nasi bungkuih, bukannya yang sepatutnya sebagai tempat longgokan ilmu. ]
Dalam masyarakat kapitalis, jika hak orang-orang miskin dan lemah diabaikan, pasti akan menyebabkan revolusi dan pemberontakan terhadap orang-orang kaya. Di samping orang Muslim dituntut untuk memerangi kezaliman sosial, dia juga dituntut untuk memerangi kezaliman politik, atau kezaliman apa pun nama dan bentuknya. Jika hanya bersikap pasif dalam menghadapi kezaliman dan meremehkannya, maka semua lapisan umat akan menanggung akibatnya, bagi orang yang zalim mahupun bagi orang-orang yang dizalimi. Firman Allah (yang bermaksud):
"Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kalian." (Al-Anfal: 25)
Al-Qur`an mencela orang-orang yang tunduk kepada para pemimpin yang zalim dan sewenang-wenang, yang menuruti apa keinginan mereka, seperti firman-Nya tentang kaum Nuh:
"Dan mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian semata." (Nuh: 21)
Al-Qur`an berbicara tentang kaum Hud:
"Dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang (kebenaran)." (Hud: 59)
Al-Qur`an berbicara tentang kaum Fir`aun:
"Maka Fir`aun mempengaruhi kaumnya, lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik." (Az-Zukhruf: 54)
Bahkan Al-Qu`an menganggap kecenderungan dan perasaan simpati yang ditujukan kepada orang-orang yang zalim saja sudah mengakibatkan seksaan dari Allah:
"Dan, janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kalian disentuh api neraka, dan sekali-kali kalian tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kalian tidak akan diberi pertolongan." (Hud: 113)
[ Komen saya: Ini dia dalil yang bagitau bahwa orang Islam tak boleh redha dengan apa bentuk kezaliman sekalipun. So mana mungkin ada sheikh-sheikh salafi kata tak boleh lawan pemimpin zalim? Zalim ni bukan makna syok-syok pi katok kepala orang atau saja-saja seronok pi bunuh orang. Kalau diluaskan skop pengertian "zalim", setiap benda yang tak diletakkan pada tempatnya, itulah makna zalim. Habih tu guna duit rakyat, pi tabok kat Permatang Pauh baru-baru ni tak zalim ka? Guna agensi-agensi kerajaan, guna media balun Pakatan Rakyat, tak zalim ka? Sebab tu saya dok bagitau kat kawan-kawan, "Kalau betul Pakatan Rakyat dapat Putrajaya dalam masa terdekat ini, saya suggest, 1st sekali, media massa mau ambil-alih dulu." ]
Islam membebani setiap orang Muslim dengan tanggungjawab politik, iaitu hidup di daulah yang pemimpinnya orang Muslim, menetapkan perkara dengan Kitab Allah dan dibaiat orang-orang untuk melakukan hal ini. Jika tidak, maka tak ada bezanya dengan orang-orang Jahiliyah. Disebutkan dalam sebuah hadis sahih:
"Barangsiapa mati sedang di lehernya tidak ada baiat kepada seorang pemimpin, maka dia mati secara Jahiliyah." (Diriwayatkan Muslim)
Solat dan Politik
Sekalipun orang Muslim sedang solat, boleh saja dia terjun ke kancah politik, iaitu tatkala dia membaca ayat-ayat dari Kitab Allah yang berkaitan dengan masalah yang disebut politik. Sesiapa yang membaca ayat-ayat dalam surah Al-Maidah yang menyuruh untuk menetapkan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, yang menganggap sesiapa pun yang tidak menetapkan perkara menurut apa yang diturunkan Allah sebagai orang kafir, zalim dan fasik, bererti dia telah terjun ke kancah politik.
"Dan barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir." (Al-Maidah: 44)
"Dan barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim." (Al-Maidah: 45)
"Dan barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik." (Al-Maidah: 47)
[ Komen saya: Ini dia tuan-tuan, heran kita, macamana masih ada golongan yang kata politik takdak dalam Islam? Sedangkan Dr Yusuf al-Qardhawi kata, dalam solat pun ada politik. Saya tak bermaksud nak kata kat HT maupun Tabligh sebab depa ada agenda depa sendiri dalam berpolitik. Yang depa tolak hanyalah sistem demokrasi, tu saja. Takpa ini kita akan terangkan nanti kepada mereka dalam masa yang akan datang. Yang saya maksudkan di sini, kebanyakan saya lihat yang tak mau kepada politik ialah golongan wanita dalam katogeri otai. Yang muda-muda dalam 20an/30an sejak mutakhir ni nampak boleh terima cerita politik semasa sebab harga barang naik punya pasal. Tapi golongan 40an ke atas ni agak susah sikit. Bila kita cerita pasai politik, mulalah depa rasa nak pening kepala-lah, nak muntahlah, macam-macam depa rasa. Depa jadi macam tu, kemungkinan salah dari segi penyampaian kita la kot pasai pi cerita politik kepartian yang depa tak minat. Tapi kalau kita cerita politik semasa yang relate dengan ayat-ayat al-Quran (contohnya seperti ayat-ayat dalam Surah al-Maidah di atas), pun depa rasa pening juga, kita nak kata apa kat golongan macam ni tuan-tuan? ]
Sekalipun bacaannya ini dianggap sebagai penentangan secara ekstrem, sebab dia membaca ayat-ayat ini sambil mengarahkan tuduhan terhadap sistem yang diberlakukan pemimpin, kerana memang pemimpin ini sesuai dengan sifat kufur, zalim atau fasik, atau bahkan semua sifat ini melekat pada dirinya.
[ Komen saya: Ini lagi la, kat M`sia ni kalau kita baca ayat-ayat Quran sebagai dalil untuk kritik para pemimpin, silapharibulan boleh kena ISA la jawabnya. Jangan buat pasai. Berapa ramai ustaz-ustaz kita disumbat dalam ISA hari ni pasai benda-benda macam ni? Jauh lebih ramai dari 5 anggota hindraf, yang riuh dalam media tu. Yang ustaz-ustaz tu dah dibelenggu, ada yang lebih dari 2 tahun, namun media dengan kita sekali masih membisu. ]
Contoh lain adalah bacaan ayat-ayat yang berisi peringatan untuk tidak setia kepada non-Mukmin:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang kafir menjadi penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Inginkah kalian mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyeksa kalian)." (An-Nisa`: 144)
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil musuh-Ku dan musuh kalian menjadi teman-teman setia yang kalian sampaikan kepada mereka (khabar-khabar Muhammad), kerana rasa kasih sayang." (Al-Mumtahanah: 1)
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian ambil menjadi teman kepercayaan kalian orang-orang yang di luar kalangan kalian (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagi kalian. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kalian. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi." (Ali Imran: 118)
Qunut nazilah seperti yang ditetapkan dalam fiqah, iaitu doa yang dibaca dalam solat-solat wajib setelah bangun dari rukuk pada rakaat terakhir, terutama dalam solat-solat jahr (yang dibaca secara nyaring), merupakan sesuatu yang disyariatkan tatkala orang-orang Muslim ditimpa cubaan, seperti berperang melawan musuh, ditimpa gempa, banjir, kelaparan dan sebagainya.
Kami masih ingat bagaimana Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna yang menetapkan hukum syariat ini tatkala rakyat Mesir sedang menghadapi Inggeris, seperti yang diterbitkan di harian al-Ikhwanul-Muslimun. Al-Banna meminta orang-orang Muslim agar membaca qunut di dalam solat mereka untuk menghadapi penjajahan Inggeris. Al-Banna mengusulkan lafaz yang mesti dibaca. Meski tak seorang pun yang menyambutnya, namun kami masih hafal betul lafaz itu, yang juga sentiasa kami baca dalam solat. Kandungan bacaan qunut ini adalah:
"Ya Allah Rabb semesta alam yang melindungi orang-orang yang ketakutan, yang menghinakan orang-orang yang sombong dan yang membinasakan orang-orang yang sewenang-wenang. Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa bangsa Inggeris itu yang telah merampas dan menduduki negeri kami, mengambil hak kami, berbuat sewenang-wenang di negeri kami lalu menyebarkan kerosakan di sana. Ya Allah, singkirkanlah dari kami tipu muslihat mereka, pecahlah kekuatan mereka, singkirkanlah kekuasaan mereka dari bumi-Mu dan jangan biarkan mereka mendapat jalan untuk menghalangi hamba-hamba-Mu yang Mukmin. Ya Allah, hukumlah mereka dan para penolong mereka, atau sesiapa pun yang membantu dan bekerjasama dengan mereka dengan hukuman yang dijatuhkan Zat Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa."
Begitulah kita terjun di kancah politik selagi kita mendirikan solat dengan khusyuk. Ini merupakan tabiat Islam, yang di dalamnya agama tidak memisahkan diri dari dunia, dan dunia tidak memisahkan diri dari agama. Al-Qur`an, sunnah dan perjalanan sejarah Islam tidak pernah mengenal agama yang berjalan tanpa daulah dan daulah berjalan tanpa agama.
Anggapan tentang Tidak Ada Agama dalam Politik dan Tidak Ada Politik dalam Agama
Orang-orang yang beranggapan bahawa agama tidak mempunyai hubungan dengan urusan politik, yang sudah mengakar sejak jauh-jauh hari, dan mereka yang menciptakan kebohongan bahawa tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik dalam agama, yang muncul pada hari-hari kemudian, justeru merupakan orang pertama yang mendustakan perkataan dan perbuatannya.
Mereka itu justeru seringkali merujuk kepada agama untuk mengambil darinya suatu perangkat (alat) untuk kepentingan politiknya dan menghadapi lawan-lawannya. Tidak jarang mereka memanfaatkan orang-orang yang lemah dan tersisih dari kalangan tokoh agama, agar mengeluarkan fatwa tertentu yang ditujukan kepada orang-orang yang melawan kebijakan politiknya, yang isinya: Ini batil menurut agama dan tidak tepat menurut kehidupan.
[ Komen saya: Bila sebut agama jadi ‘alat kepada politik’, teringat saya kepada beberapa isu yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini seperti isu azan, isu nama jalan. Walaupun isu nama jalan takla berkait dengan agama sangat tapi nak ceritanya, inilah bahana apabila kalah di PR12 baru-baru ni. Time ada banyak kuasa dulu, bab-bab agama, bab-bab warisan apa semua ni tak berapa nak ambik perhatian. Yang depa fokus, projek, projek, projek. Buat duit, buat duit, buat duit. Tapi sejak dua menjak ni, dah pandai sembang bab-bab agama dan warisan. Ini dah kira advance.
Mai saya nak tanya, “Apa penting sangat isu nama jalan tu?” Kalau betoi tak mau bagi nama jalan bubuh bahasa cina/tamil, sepatutnya jangan bagi juga sekolah cina/tamil wujud. Semua mau standardise pi sekolah kebangsaan, macam kerajaan Indonesia buat. Tu baru betoi.
Ni sanggup pi ambik mana punya makcik-makcik suruh angkat banner buat demonstrasi, padahal bila Rasulullah dikarikaturkan, takdak pun makcik-makcik keriau buat demonstrasi. Inilah yang dikatakan krisis keutamaan. ]
Kami masih ingat bagaimana pelbagai fatwa dikeluarkan pada sekitar tahun 1948 dan 1949. Kami yang saat itu merupakan para da`i yang aktif mengajak kepada penerapan hukum Al-Qur`an dan Islam, dianggap telah memerangi Allah dan Rasul-Nya serta menyebarkan kerosakan di mukabumi, sehingga sudah selayaknya jika kami mesti dibasmi, disalib, tangan dan kaki kami dipotong hingga tiada yang menyisa, atau lebih baik jika kami dibasmi dari permukaan bumi ini.
Hal seperti ini terus berulang-ulang dari satu masa ke lain masa. Pentas sandiwara terus berulang sekalipun wajah-wajah tidak lagi sama.
Kami masih ingat, begitu pula semua orang, bagaimana para ahli fatwa diminta untuk mengeluarkan fatwa tentang perlunya mengukuhkan perdamaian dengan Israel, untuk mengangkat posisinya yang hampir kalah dalam kancah politik. Padahal sebelum itu para ahli fatwa ini sudah mengeluarkan fatwa, berisi pengharaman berdamai dengan pihak Israel, dan menganggap berdamai dengan Israel sebagai pengkhianatan terhadap Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Muslim. [4]
Tidak sedikit para penguasa yang merangkul para ulama agar mengeluarkan fatwa yang boleh menyokong tujuan-tujuan politiknya. Yang terakhir kali adalah upaya menghalalkan jasa bank dan bunganya. Maka permintaan ini pun dikabulkan orang-orang (para ulama) yang sebenarnya minima ilmu dan agamanya. Namun para ulama yang teguh tetap menolaknya.
"Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang pun selain kepada Allah." (Al-Ahzab: 39)
-----------------------------------------
Nota:
[1] An-Nawawi mensahihkannya di dalam Riyadhush-Shalihin.
[2] Adz-Dzahaby mensahihkannya, begitu pula Al-Albany di dalam Silsilah Ash-Shahihah, nombor 374.
[3] Kesahihan hadis ini diperselisihkan. Lihat Majma`uz-Zawa`id, 1\87, dan Al-Muntaqa Minat-Targhib wat-Tarhib, nombor 997.
[4] Boleh jadi pengarang hendak mengisyaratkan polemik antara dirinya dan mufti Saudi Arabia setelah Perang Teluk sudah reda. Di satu sisi pengarang menentang keras perdamaian dengan pihak Israel, dengan pelbagai dalil yang diambilkan dari Al-Qur`an, yang menjelaskan sesiapa dan bagaimana sepak terajang bangsa Israel semenjak dahulu hingga kini, dan pertimbangan-pertimbangan lain yang sama sekali tidak mendatangkan kemaslahatan. Di sisi lain, mufti Saudi Arabia mengeluarkan fatwa tentang diperbolehkannya berdamai dengan pihak Israel. Hanya orang-orang yang terlibat dengan pengeluaran fatwa inilah yang tahu betul apa manfaat berdamai dengan Israel, terutama menurut pertimbangan politik, wallahu a`alam (penterjemah).
PAS ni... agama penting ker .. atau politik lebih penting?
-
Desa HM
Jelas... hukum dalam agama, fitnah itu dosa besar dan diharamkan dalam
agama.
Jelas jugak... mahkamah jatuh hukum tukang fitnah didenda, kena...
5 minutes ago
0 comments: on "Islam dan Politik"
Post a Comment