Pages




Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
---------------

Friday, December 30, 2011

Perginya Mitos Pribumi Malas..

Integriti Legasi Syed Hussein Alattas

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alattas akan terus diingati rakyat negara ini sebagai cendekiawan yang banyak meninggalkan legasi idea mengenai rasuah serta pentingnya mengamalkan integriti.

Malah pada 1990, ketika beliau memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaya, Syed Hussein diberi cuti dua bulan oleh kerajaan untuk menyiapkan laporan mengenai sistem Ombudsman iaitu sistem yang berkaitan dengan integriti.

Lulusan doktor falsafah dalam bidang politik dan sains sosial dari Amsterdam University, Belanda pada 1963, beliau banyak meninggalkan karya berkaitan rasuah dan integriti, dengan buku terakhirnya "Corruption and the Destiny of Asia" yang diterbitkan pada 1999.

Antara hasil karyanya mengenai rasuah ialah "The problem of corruption" (1986) dan "Korupsi" (1988).

Beliau yang terkenal dengan buku "The Myth of Lazy Native" pada tahun 1959 yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia kepada "Mitos Pribumi Malas" oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1977, turut menulis di beberapa akhbar tempatan.

Syed Hussein keluarga ternama di Johor, lahir di Bogor, Indonesia pada 17 Sept, 1928 sebelum berpindah ke Johor Baharu lapan tahun kemudian.

Syed Hussein yang bersepupu dengan bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn dan juga profesor Diraja Ungku Aziz, ialah presiden pengasas parti Gerakan pada 1968.

Bersama mendiang Tan Sri Tan Chee Khoon dan Tun Dr Lim Chong Eu, beliau turut sama dalam memastikan parti Gerakan, yang mempertaruhkan isu keadilan sosial sebagai agenda kempen parti itu pada pilihan raya umum 1969, mencatat kejayaan cemerlang.

Malangnya, masalah dalaman parti itu menyebabkan beliau meninggalkan Gerakan dan terus bersara daripada politik pada tahun 1970-an. Bagaimanapun sepuluh tahun kemudian, beliau menyertai parti Berjasa untuk seketika sebelum menyertai Umno pada tahun 1986.

Dalam kerjayanya, selepas lulus dengan ijazah sarjana, Syed Hussein memulakan kariernya sebagai pegawai penyelidik kanan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1958 dan tiga tahun kemudian dinaikkan pangkat sebagai ketua bahagian penyelidikan badan itu.

Pada tahun 1964, beliau menjadi pensyarah di Universiti Malaya hinggalah ke jawatan ketua Bahagian Kebudayaan, Jabatan Pengajian Melayu sebelum berpindah ke Singapore University pada tahun 1967. Beliau juga pernah menjadi Fello Pelawat Asia di Australian National University pada tahun 1973.

Pada Mei 1988, bagaikan sirih pulang ke gagang, Syed Hussein dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya, karier yang paling tinggi dipegangnya dalam bidang akademik.

Jawatan terakhir beliau dalam bidang akademik ialah sebagai Fello Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disandangnya sejak 1991.

Namun bagi yang mengenali Syed Hussein secara dekat termasuk wartawan yang pernah menemubual beliau, allahyarham seorang yang bercakap lembut, menggunakan bahasa yang sinis tetapi intektual ketika menghuraikan sesuatu isu.

Ketika ditemubual BERNAMA di rumah beliau di Damansara Heights sekitar Julai 2005, Allahyarham memberikan jawapan yang ringkas ketika ditanya mengenai rasuah yang menular dalam kalangan penjawat awam.

"Rasuah dan korupsi ibarat wabak taun yang membunuh," katanya, menjelaskan bahawa seperti penyakit, hakisan integriti (rasuah dan korupsi) hanya boleh diubati dengan mencari punca penyakit dan diperangi habis-habisan.

-- BERNAMA
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Perginya Mitos Pribumi Malas.."

Post a Comment

SUARA BLOGGER

APA-APA